Search This Blog

Loading...

Kesan buruk menonton filem hantu


Kejayaan filem Jangan Pandang Belakang yang mencatat kutipan RM7.2 juta membuktikan bahawa seram antara genre yang semakin mendapat sambutan. Tidak dinafikan masyarakat yang ada pada hari ini ingin tahu mengenai sesuatu perkara yang di luar batas dan pemikiran mereka.

Maka lahirlah idea menggambarkan kewujudan hantu dengan rupa paras yang pelbagai agar perasaan seram itu hadir dalam diri penonton.

Hakikatnya tiada siapa pernah melihat hantu atau bagaimanakah rupa paras jin sebenar biarpun al-Quran sendiri mewajibkan manusia itu mempercayai perkara-perkara ghaib. Mungkin ada yang menganggap filem-filem seram yang dihasilkan pada hari ini hanyalah sekadar hiburan semata-mata.

Mungkin ada juga yang berkata di Hollywood juga menghasilkan filem genre yang sama. Tetapi masyarakat Barat tidak percaya kewujudan mistik di dalam kehidupan masing-masing dan tentunya mereka boleh menganggap filem-filem seperti itu adalah sekadar hiburan.

Berbeza dengan masyarakat tempatan pada hari ini kerana kepercayaan hal-hal yang berkaitan hantu masih menebal. Kewujudan hantu seperti toyol, hantu raya ataupun pocong begitu sinonim dengan orang Melayu walaupun dunia semakin moden.

Oleh sebab itulah perkhidmatan bomoh atau dukun masih lagi diperlukan kerana ia dipercayai mampu untuk menyembuhkan penyakit seseorang atau menghalau roh-roh jahat.

Filem hantu bukanlah baru sebaliknya sudah wujud sejak dulu lagi seperti Orang Minyak, Toyol, Perjanjian Syaitan dan Puaka. Apabila masyarakat terlalu didedahkan dengan hantu, jin atau syaitan pada hari ini ia dibimbangi akan membantutkan perkembangan minda untuk realistik mendepani hidup.

Malah kita tidak menyedari penghasilan filem jenis ini sebenarnya mampu memesongkan akidah sekiranya penonton itu taksub dan percaya terhadap apa yang dihidangkan itu.

Penerbit filem pada hari ini berlumba-lumba menghasilkan filem hantu yang kononnya sekadar hiburan dengan memberi pelbagai gambaran terhadap hantu di dalam filem masing-masing.

Tetapi filem-filem sedemikian dibimbangi gagal membangunkan minda masyarakat sebaliknya sekadar hiburan kosong.

Ia diakui oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang turut menganggap ada antara filem hantu tidak menyumbang kepada pembentukan insan. Malah Islam sendiri tidak menerima apa-apa perkara yang boleh memperbodohkan masyarakat termasuk juga sesuatu pekara yang divisualkan dalam filem.

SeramLebih membahayakan apabila sesebuah filem seram itu ditonton oleh kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran mereka.

"Filem-filem seram yang keterlaluan adalah berbahaya kerana ia boleh menyumbang kepada penyelewengan akidah.

"Kepercayaan bukan-bukan seperti ada kuasa ghaib yang divisualkan dan hantu itu boleh mengetahui sesuatu perkara boleh menyebabkan masyarakat terpengaruh dan mempercayainya," kata Dr. Mohd. Asri ketika dihubungi Jumaat lalu.

Filem seperti ini kata beliau boleh merosakkan akal disebabkan unsur serta gambaran yang diperlihatkan mengenai makhluk halus itu adalah tidak benar.

Maka ujarnya, secara tidak langsung akan lahir masyarakat yang penakut apabila mereka terlalu dimomokkan dengan filem seperti itu.

"Kita bimbang filem itu mempengaruhi jiwa masyarakat yang akhirnya menyebabkan mereka akan takut walaupun hendak ke bilik air," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, tidak salah untuk menghasilkan filem seram asalkan tidak diselitkan dengan unsur khurafat selain perlu menggambarkan syaitan itu lemah.

Dalam masa yang sama filem hantu yang dihasilkan juga perlu memberi kesan positif agar manusia tidak hilang keyakinan diri.

Mengambil contoh filem Zombie Kampung Pisang arahan Mamat Khalid, kata beliau, tema yang dibawa dalam filem tersebut tidak bercanggah kerana akhir cerita memperlihatkan makhluk halus itu tidak dapat menguasai manusia.

Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ma'rof Redzuan dalam wawancara dengan majalah Al-Islam menjelaskan filem-filem seram mampu mempengaruhi pemikiran kanak-kanak.

Katanya, kanak-kanak tidak boleh berfikir seperti orang dewasa sebaliknya hanya menerima sesuatu pekara yang boleh dilihat atau disentuh itu secara bulat-bulat.

Golongan itu akan berfikir walaupun mereka tidak nampak hantu tetapi mereka mempercayai jelmaan jin boleh menyerupai apa saja yang menyebabkan pemikiran mereka rosak.

"Bagaimanapun apabila kanak-kanak meningkat dewasa dan mampu berfikir, mereka akan terlepas daripada dipengaruhi unsur tersebut.

"Tetapi jika seseorang kanak-kanak itu membesar di persekitaran keluarga yang mempercayai karut-marut itu, kemungkinan mereka akan terus berhalusinasi," katanya.

HodohDekan Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik UiTM, Prof. Dr. Hatta Azad Khan pula berkata, sesebuah filem seram bukan terletak kepada wajah hodoh hantu itu semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, tanpa ada hantu pun sesebuah filem boleh jadi seram dengan adanya elemen muzik dan unsur suspen lain.

Untuk itu pembikin filem pada hari ini memerlukan kepakaran bagi memastikan filem seram atau mistik yang dihasilkan itu tidak menyimpang dengan mencampuradukkan ayat-ayat al-Quran.

Pada hari ini pembikin filem seram di Malaysia lebih terikut-ikut dengan karya luar antaranya Thailand, Korea dan Indonesia.

Mengambil contoh di Korea sendiri, industri perfileman di negara itu menunjukkan peningkatan apabila mereka menghentikan budaya meniru filem-filem barat dan menghasilkan filem mencerminkan identiti negara mereka.

Sehubungan itu tibalah masanya untuk pembikin filem negara ini menghasilkan karya yang lebih realistik daripada membawa masyarakat kepada alam khayalan.

"Pada hari ini kita lebih gemar meniru dan tidak mahu menghasilkan filem yang mencerminkan budaya kita. Oleh itu kita perlu menunjukkan budaya kita yang sebenar sekiranya mahu lebih berjaya," ujarnya.

Kesimpulannya dalam menghasilkan filem-filem seram ini, pembikin filem perlu diberi bimbingan untuk memastikan penghasilan filem seperti itu tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu memainkan peranan memastikan penghasilan filem itu tidak menyimpang dari sasarannya.

Malah pemilihan ayat-ayat suci al-Quran untuk digunakan dalam sesebuah filem perlulah diteliti sama ada ia bersesuaian atau tidak dengan adegan yang dilakonkan.


sumber dari Utusan

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers